Photobucket

Thursday 18 March 2010

Sekretariat Pencegahan Rasuah di UiTM




Sebuah Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Teknologi Mara (UiTM) dltubuhkan di universiti itu bagi mendidik pelajar pada peringkat pengajian tinggi agar bersama memerangi gejala rasuah.

Sekretariat itu ditubuhkan hasil usaha sama tiga pihak membabitkan Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Persatuan Pentadbir UiTM dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Pendaftar UiTM, Dr Zahrah Mokhtar, berkata program tiga penjuru itu adalah kerjasama baik bagi meningkatkan integriti dan menghindarkan gejala rasuah membabitkan masyarakat.

Katanya, nilai integriti harus dipupuk dalam kalangan pelajar kerana ia adalah maruah yang tidak boleh dijual beli,diwarisi dan ditukar dengan wang ringgit. Aspek integriti perlu dipamerkan warga UiTM dan pelajar perlu memperagakan nilai integriti seperti bersih, cekap dan jujur dalam diri masing·masing. "Penularan penyakit rasuah dalam masyarakat akan memberi kesan negatif kepada negara. Rasuah adalah manfaat yang bercanggah daripada sisi undang-undang," katanya ketika merasmikan penubuhan sekretariat itu dan pameran mengenainya di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM, disini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah, SPRM Selangor, Datuk Ja'afar Mahad, Ketua Pustakawan PTAR, Haron Wee Ah Boo dan kakitangan serta pelajar UiTM. Sekretariat ltu adalah yang kedua ditubuhkan selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM). Kajian yang pernah dihasilkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini menunjukkan 35 peratus pelajar institut pengajian tinggi akan menerima rasuah jika berpeluang.

Ja'afar pula berkata, program itu diharap dapat mendedahkan pelajar mengenai ketelusan dan integriti apabila mereka memasuki alam pekerjaan kelak. "Kami perlu mengubah pemikiran masyarakat dan selepas ltu kita akan berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi. Penubuhan sekretariat SPRM ini dilihat dapat memberi pendidikan terhadap pencegahan rasuah," katanya.

oleh Nor Hatina Shuib Berita Harian.